[Video] Canang RM2.6 bilion hilang tapi RM270 bilion hilang setahun di bawah PH, siapa nak ganti?

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dalam tempoh setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), ekonomi telah dirosakkan begitu teruk sekali akibat daripada penipuan fakta berkaitan hutang negara RM1 trilion.

Ujar beliau, rakyat harus sedar bahawa kerajaan PH telah ‘menghilangkan’ RM270 bilion ekonomi negara dan siapakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk membayar gantirugi ini.

“Rosak dan merosakkan… Kementerian Kewangan rosak dan telah merosakkan ekonomi negara. Disebabkan ini saham daripada 1,800 mata jatuh kepada 1,600 mata. Kita hilang RM270 bilion ekonomi negara.

“Siapa nak bayar…? Kisah RM2.6 bilion bukan main diungkit tapi RM270 bilion yang hilang ini siapa yang nak bayar… akibat daripada ini dividen ASB turun, KWSP turun, Tabung Haji tinggal 1.25, hibah jadi hiba… inilah yang saya katakan rosak dan merosakkan sebab cakap hutang RM1 trilion.

“Sebab itu kita sudah cakap jangan letak orang yang tidak pakar… ini letak orang yang titik perpuluhan pun boleh silap,” sindir beliau.

Ahmad berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program Dari Parlimen anjuran Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan secara langsung melalui medium Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Tambah beliau, disebabkan PH terlalu berpolitik akhirnya negara dan rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

Selain itu Ahmad juga menegaskan, rakyat harus sedar hakikat dan fakta berkaitan hutang negara yang sering dimanipulasi oleh kerajaan PH.

“Fakta hutang negara adalah RM686 bilion semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu. Hutang ini adalah dalam tempoh 61 tahun BN memerintah tetapi setahun PH memerintah sepatutnya hutang negara turun. Ini tidak, hutang negara meningkat menjadi RM800 bilion dalam tempoh setahun.

“…cuba bezakan RM686 bilion dalam tempoh 61 tahun dengan RM800 bilion dalam tempoh setahun. Ini Fakta. Satu lagi… Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) cakap beliau tidak akan berundur selagi masalah hutang tak selesai… tapi bila nak selesai kalau hutang negara makin naik. Maknanya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim hanya akan kekal jadi PM ‘tepi’ lah…,” ujar beliau sinis.

Jelas Ahmad seterusnya, kepimpinan PH tidak boleh mempergula-gulakan blok pembangkang kerana apabila mereka bangun bercakap dalam Sidang Dewan, mereka berhadapan dengan bekas Menteri dan Timbalan Menteri.

“Ahli Parlimen BN banyak pengalaman. Pemimpin PH bila bangun mereka tahu mereka berhadapan dengan bekas menteri dan timbalan menteri jadi nak temberang pun tak berani. Dulu mereka bangun mereka tidak pernah ada dalam kerajaan, sekarang baru tahu.

“Apa yang menarik sekarang di blok pembangkang adalah solidariti, bila kita keluar dewan, semua sekali keluar. Kita bantah sebab mahu yang lebih baik,” ujar beliau.

Bercakap berkaitan usul pengisytiharan harta yang dibentangkan di Dewan Parlimen pula jelas beliau, kerajaan PH cuba memberi gambaran kononnya blok pembangkang bantah usul ini kerana takut namun hakikatnya blok pembangkang menggesa usul ini dijadikan akta dan bukan sekadar usul.

“Usul ini tidak ada pemberat dan ini jelas menunjukkan mereka tidak ada pengalaman. Saya harap rakyat tidak terkeliru dengan spin yang mereka buat. Kita tidak takut… semua bekas menteri dan timbalan menteri dari BN dulu telah mengisytihar harta dan ada simpanannya pada kabinet dan kalau pihak yang berkaitan nak lihat atas sebab-sebab tertentu seperti SPRM dan AMLA, ada kepada Kabinet jadi dipersilakan. Langsung tidak timbul isu takut cuma apa yang kami syorkan supaya tidak hanya dijadikan usul.

“Usul jika tidak dipenuhi akan dibawa ke jawatan hak dan kebebasan. Speaker juga telah menyebut dia tidak ada kuasa yang betul-betul dan mantap untuk laksanakan perkara ini. Pada saya sikap mereka yang tergesa-gesa konon nak laksanakan usul ini macam nak jatuhkan imej pemimpin pembangkang kononnya kami takut,” jelas beliau.

Jelasnya lagi, ada perkara-perkara yang akan timbul apabila ia hanya sekadar usul dan antaranya adalah soal keselamatan apabila pengisytiharan ini disiarkan ke dalam portal.

“Ada yang bimbang jika anak mereka diculik… dari orang tidak tahu harta, orang sudah tahu. Siapa nak jaga kelamatan kalau hanya usul? Kalau dijadikan rang undang-undang tentu ada dimasukkan klausa-klausa tertentu.

“Kita mahukan lebih baik dari cadangan mereka supaya ada klausa perjanjian. Apa yang diinginkan oleh blok pembangkang adalah lebih baik dan kemas,” katanya lagi. – MediaUMNO

https://umno.huluselangor.net/tag/ahmad-maslan

LIHAT VIDEO: https://youtu.be/HLGiotcrd6o