ICERD ‘jerat’ hak keistimewaan orang Melayu, bumiputera – Noraini

Percubaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan menjerat negara pada terma-terma yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, isu ICERD tidak perlu diketengahkan kerana komitmen Malaysia mengekang elemen diskriminasi selama ini menjadikannya dicontohi dunia daripada aspek kehidupan masyarakat majmuknya.

“Wanita UMNO percaya bukan sesuatu yang mustahil jika Perkara 153 (Hak-hak keistimewaan orang Melayu), Perkara 152 (bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), Perkara 89 (tanah rizab Melayu) dan Perkara 3(1) (Islam sebagai agama Persekutuan) nanti akan dibaca sebagai satu bentuk diskriminasi mengikut acuan Barat.

“Ia susulan Perkara 2.2 ICERD yang mengungkapkan bahawa segala bentuk diskriminasi kaum mesti dihentikan selepas tempoh masa tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.