ICERD: Kerajaan cuba kelirukan rakyat

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba menipu dan mengelirukan rakyat berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr, Shamsul Anuar Nasarah berkata, rumusan itu dibuat selepas kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy semalam yang mengesahkan akan komitmen Malaysia untuk menandatangani enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD.

Jelas Shamsul Anuar, ini bermakna ICERD lambat-laun akan diratifikasikan juga satu yang sekali gus menjadi hakikat yang perlu disedari oleh orang Melayu dan penduduk beragama Islam di negara ini.

“Waytha Moorthy menegaskan bahawa meratifikasikan ICERD tetap menjadi janji manifesto PH yang akan ditunaikan juga. Ini selaras dengan janji Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, baru-baru ini.

“UMNO bersama-sama Pas dan lebih 500,000 rakyat Malaysia dari seluruh negara yang mengadakan Himpunan Aman Daulat 812, menolak ICERD kerana jelas menjejaskan kepentingan Islam, orang Melayu bumiputera, anak negeri dan pelbagai kepentingan kaum termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambah Shamsul Anuar, janji kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD kini sah sebagai satu helah untuk memikat hati rakyat, khasnya orang Melayu.

Katanya lagi, Waytha Moorthy sebagai menteri yang menjaga portfolio perpaduan juga seharusnya menyedari bahawa Malaysia sudah aman dan hak semua kaum diiktiraf dan ICERD tidak diperlukan di negara ini.

“Kami ingin mendesak kerajaan agar membuat pendirian tegas di dalam perkara ini. Selagi tidak dimasukkan ke dalam hansard Parlimen secara rasmi, selagi itulah manusia sejenis dengan Waytha Moorthy akan menggunakannya untuk kepentingan politik perkauman.

“Harus diingat, UMNO bukan sahaja menentang ICERD untuk kepentingan Melayu dan Islam malah meliputi pribumi Sabah dan Sarawak. Ini sudah diperjelaskan berulang kali tetapi Waytha Moorthy sengaja tidak mahu memahaminya,” katanya.