ICERD: Rosak bawang ditimpa jambak

Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semasa ucapan beliau di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beberapa bulan lalu tidaklah menimbulkan kontroversi besar.

Ini kerana ramai beranggapan bahawa ia sekadar ucapan penyedap rasa di peringkat antarabangsa. Namun ia menjadi kontroversi apabila perkara ini ditimbulkan sekali lagi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Perpaduan), Waytha Moorthy yang menunjukkan kesungguhan dan iltizam melaksanakannya.

Anak-anak muda yang seronok dengan gagasan Malaysia Baharu mungkin tidak faham siapa Waytha Moorthy ini seorang yang bersikap rasis dan sanggup ke seluruh dunia memburukkan negara kita semasa beliau menjadi Presiden Hindraf.

Beliau telah berjaya meracuni sebahagian besar masyarakat India di negara ini agar membenci kerajaan sebelum ini. Beliau ke luar negara mendakwa kerajaan Malaysia menindas masyarakat India, memaksa memeluk Islam untuk kerja dengan kerajaan merobohkan puluhan ribu kuil dan menyebabkan mereka terus berada dalam kemiskinan.

Mengapa Bantah ICERD?

Majoriti masyarakat Bumiputera dan Islam membantah ICERD kerana mereka percaya tindakan untuk meratifikasi ICERD ini akan menghakis hak-hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia kemudiannya.
Meratifikasikan ICERD ia merupakan langkah pertama ke arah menghapuskan fasal-fasal yang memberi keistimewaan kedudukan masyarakat Bumiputera dan agama Islam dalam Malaysia.

Pada masa depan apa-apa pemberian keistimewaan dan kelebihan kepada agama Islam atau masyarakat Bumputera akan dianggap sebagai pendiskriminasian terhadap kaum dan agama lain walaupun jelas ia tidak benar.
Kerajaan Barisan Nasional telah pun menubuhkan Jawatankuasa mengkaji ICERD pada 2011 yang dianggotai oleh pelbagai kumpulan bukan kerajaan, tokoh akademik, pemimpin politik dan agama.
Akhirnya keputusan telah dibuat bahawa kerajaan tidak akan meratifikasikannya, Ini kerana ia boleh menjejaskan Perlembagaan negara yang menjadi sebahagian kontrak kemerdekaan antara masyarakat Bumiputera dan masyarakat imigran.

Diskriminasi dan Keistimewaan

Agak menyedihkan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, cuba menggambarkan mereka yang menentang ICERD sebagai bertentangan dengan Islam. Dalam mempertahankan usaha Waytha Moorthy ini, Khalid telah menyatakan Islam tidak membenarkan Ketuanan Melayu dan diskriminasi. Menurut beliau Islam menolak diskriminasi dan memperjuangkan keadilan.

Kenyataan Khalid ini sangat nakal. Hakikatnya ICERD tidak bercakap mengenai ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu adalah konsep kedudukan Raja-Raja Melayu. Para penentang ICERD bercakap soal kedudukan Bumiputera dan Islam yang dijamin perlembagaan akan terhakis.

Apakah kebimbangan mereka? Ia berlegar pada kedudukan kaum Bumiputera yang dijamin keistimewaan mereka dalam Perlembagaan dan polisi kerajaan. Antaranya ialah kedudukan bahasa Melayu, tanah rizab Melayu, tanah adat, pemberian biasiswa dan perkara yang disediakan oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan Bumiputera seperti, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Universiti Teknologi Mara.

Para penentang ICERD bercakap soal ancaman kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan dan perundangan negara jika ICERD diratifikasikan. Antara impliaksinya Islam hanya sama kedudukan dengan agama lain dan tidak boleh dijadikan sebagai sebuah agama Persekutuan seperti sekarang.

Serangan ke atas penentang ICERD sebagai bertentangan dengan ajaran Islam, rasis dan tidak menghormati kaum lain oleh anggota kabinet adalah satu sikap tidak bertanggungjawab.

Kerajaan hari ini cuba mengelirukan rakyat antara privilege (keistimewaan) dan discrimination (diskiriminasi). Privilege bermaksud “a special right, advantage, or immunity granted or available only to a particular person or group.” Ia tidak semestinya sesuatu yang berbentuk diskriminasi.

Sebaliknya discrimination bermaksud “the unjust or prejudicial treatment of different categories of people, especially on the grounds of race, age, or sex.”

Masyarakat perlu bertanya apakah selama lebih 60 tahun merdeka ada antara kita ditindas, dihalang dan disisihkan oleh kerajaan seperti mana berlaku kepada kaum kulit hitam di Afrika Selatan suatu ketika dahulu?

Masyarakat juga perlu memahami bahawa kewujudan dasar-dasar pro-bumiputera dalam kerajaan sebelum ini bukan satu bentuk diskriminasi, tetapi lebih kepada sedikit keistimewaan. Ini adalah balasan kepada persetujuan bumiputera, terutama orang Melayu, menerima semua kaum imigran yang telah datang ke Semenanjung Tanah Melayu dan Borneo sebelum merdeka sebagai warganegara yang sama taraf dan hak.
Sejak merdeka sehingga Mei 2018 sebelum Barisan Nasional dikalahkan, UMNO tidak pernah menindas atau mendiskriminasi mana-mana kaum. Jika ada polisi-polisi tertentu yang khusus untuk bumiputera, ia adalah dalam bentuk memberi bantuan untuk mereka berjaya, bukannya menindas bukan bumiputera dari berjaya. Sebab itu kita lihat 70% kekayaan negara dan kelompok profesional ini masih ditangan bukan Melayu walaupun jumlah mereka hanya 30%.

Sudah tentu ada persoalan, jika bukan diskriminasi mengapa takut menandatangani ICERD? Walaupun kita percaya ia adalah keistimewaan bukan diskriminasi, namun pihak luar terutama di PBB mungkin mempunyai tafsiran lain.

Ia hanya memerlukan seorang cauvinis seperti Waytha Moorthy atau seorang “gay” ke PBB membuat aduan mengenai diskriminasi dan ia akan menyebabkan kerajaan berhadapan tekanan dan pemeriksaan melampau ke atas dasar negara.

UMNO, PAS, Melayu Difitnah

Namun yang lebih menyedihkan ialah kerajaan hari ini sedang merosakkan perpaduan rakyat demi kepentingan politik partisan. Mereka menuduh masyarakat Bumiputera, terutamanya masyarakat Melayu Islam bersikap perkauman kerana membantah ICERD dan mempertahankan Perlembagaan negara.

Kerajaan menggunakan ICERD ini untuk memfitnah UMNO, Pas dan orang Melayu sebagai penindas dan bersikap perkauman. Kerajaan membiarkan polemik ini berterusan supaya masyarakat bukan bumiputera dan bukan Islam melihat parti-parti politik ini sebagai sekumpulan manusia yang bersikap perkauman.

Ini mungkin ada kena mengena dengan Pilihan Raya Kecil DUN Rantau yang akan diadakan dalam sedikit masa lagi. Barisan Nasional bakal mencalonkan Timbalan Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato Seri Mohamed Hassan sebagai calon. DUN Rantau hanya mempunyai 54% bumiputera Melayu Islam.

Kerajaan membiarkan isu ini berlarutan untuk memberi gambaran UMNO sebuah parti perkauman dan tidak wajar disokong oleh bukan Melayu. Dengan menarik semua sokongan kaum lain, Pakatan Harapan mempunyai peluang cerah untuk menang dengan hanya menambah 10% undi Melayu.
Mereka tidak peduli kerosakan perpaduan dan penghinaan ke atas masyarakat Bumiputera dan Islam kerana yang berada di atas tampak semacam sedang berusaha keras mempertahankan kuasa biar kehilangan bangsa.

Maka nasib bumiputera dan Islam di negara ini seperti peribahasa “rosak bawang ditimpa jambak” (menjadi celaka kerana perbuatan [kawan, kaum dan sebagainya] sendiri).

Oleh Ab Jalil Backer