Isu Rakyat Lebih Penting, Fokus Utama Untuk Perpaduan – Ismail Sabri

Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata isu rakyat dan perpaduan parti lebih penting daripada mempersoalkan kembalinya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, semenjak Ahmad Zahid kembali ada pihak yang tidak berpuas hati tapi yang pentingnya adalah majoriti menerima dengan baik dan yang lebih penting lagi bagi UMNO adalah meneruskan perjuangannya kepada rakyat.

“Jika tidak puas hati parti UMNO ada Perlembagaan… setiap tiga tahun ada permilihan dalam parti, cuma dalam keadaan sekarang jangan fikirkan soal-soal jawatan dan pertandingan.

“Inilah waktunya untuk kita bersatu dalam keadaan parti lain mengalami masalah dalaman dan tidak sepatutnya kita menghadapi masalah dalaman juga. Kita perlu bersatu kerana tugas kita sangat besar,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera turut menjelaskan tugas ahli UMNO kini lebih besar dari membicarakan wajar atau tidak Presiden kembali daripada bercuti. Misi yang penting bagi UMNO adalah bagaimana hendak memperkukuhkan parti.

Dalam masa sekarang, kerajaan Pakatan harapan (PH) tengah kucar-kacir, ini jelas dilihat permasalahan dalaman mereka dan UMNO harus bersatu dan memenangi isu-isu rakyat. Sebagai pembangkang harus menumpukan kepada rakyat agar UMNO terus menjadi pejuang rakyat.

Mengenai isu lantikan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO), Presiden UMNO berhak melantik sesiapa sahaja dan Ahmad Zahid tahu kriteria-kriteria pemimpin yang diperlukan oleh UMNO.

“Dari kuasa perlembagaan Presiden boleh melantik Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan ini memang bidang kuasa Presiden UMNO. Ini terserah kepada Zahid untuk melantik dan saya tidak tahu kriteria apa… dan kriteria yang ia tentukan melibatkan bidang kuasa beliau.” – MediaUMNO