Kadir Jasin diberi tempoh 48 jam untuk memohon ampun

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob melahirkan kekesalan dan amat kecewa dengan tulisan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk A Kadir Jasin yang dipetik Malaysiakini.com bertajuk; “Kadir Jasin: Rakyat perlu tahu peruntukan belanja buat raja”, dan tular tersebar luas di media sosial baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau dan juga kepimpinan UMNO Bahagian Pendang memberikan tempoh 48 jam kepada A Kadir Jasin untuk memohon ampun daripada Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan institusi DiRaja Kedah, atau beliau bakal berdepan dengan laporan polis atas keceluparan dirinya.

Katanya, nama A. Kadir Jasin cukup dikenali sebagai penulis politik yang handal mendewa-dewakan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad di era pentadbiran Perdana Menteri ke-4 dahulu, namun sayang beliau kini melampaui batas kebebasan menulis dan menyuarakan pandangan secara biadap.

“Penulisan Kadir yang mengulas mengenai majlis istiadat pertabalan Sultan Kedah yang ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, pada 22 Oktober lalu dimulakan dengan baik, namun tiba-tiba mengungkap soal ‘berpanjangan usia di bilik lembaga’ dan “pelihara konglomerat niaga baginda,” telah menimbulkan tanda tanya yang mencurigakan.

“Beliau kemudian menulis perkaitan “raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara.”, seolah-olah memomokkan institusi Kesultanan DiRaja Kedah dengan unsur-unsur negatif berkenaan, sekaligus mencetus motif sebenar di sebalik penulisan tersebut.

“Agenda sebenar Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri itu semakin terserlah apabila dengan biadap apabila sengaja ‘menjolok’ di perenggan akhir kononnya segala perbelanjaan Raja-Raja Melayu di negara ini perlu didedahkan kepada rakyat menerusi Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri.”

Tegas beliau yang juga Adun Sungai Tiang, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah merupakan “Payung Negeri yang berdaulat” dan amat disayangi rakyat Kedah.

“Baginda seorang Sultan yang berjiwa rakyat, cukup lembut dan mesra, namun sangat tegas khususnya melibatkan kewujudan institusi Diraja, kedudukan istimewa orang Melayu serta kesucian Islam sebagai agama rasmi sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Bidasnya, tindakan Kadir menulis dan mengaitkan soal “berpanjangan usia di bilik lembaga”, “pelihara konglomerat niaga baginda”, “raja kita selamat dalam bilik lembaga, atas padang bola, dalam arena politik negara atau mencari bijih dan balak dalam hutan belantara” serta gesaan tidak langsung supaya mendedahkan peruntukan perbelanjaan Raja-Raja Melayu menggambarkan kebiadapan beliau yang cenderung menghasut ke arah penderhakaan.

“Kadir yang merupakan anak kelahiran Pendang benar-benar telah memalukan seluruh rakyat Kedah khususnya daerah Pendang, dan pendiriannya itu tidak wajar untuk menjadi tauladan yang baik bagi generasi akan datang di negeri ini,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah.