Kenal Musuh Sebenar, Terus Kekalkan Kerjasama UMNO-PAS

SUNGAI PETANI – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan sebenarnya Pakatan Harapan (PH) berusaha hendak menggagalkan kerjasama antara UMNO dan PAS.

Tegas beliau, kita seharusnya sudah tahu dan kenal musuh sebenar UMNO yang hanya mahu memporak-perandakan parti UMNO.

Ini kerana katanya, walaupun PH sudah menjadi kerajaan namun mereka tetap menabur fitnah terhadap UMNO dan PAS.

“Jangan kita tebuk perahu sendiri, tebuk perahu belah sana (PH), ini kita tebuk perahu sendiri dengan harapan kita hidup tapi tidak … kita mati bersama.

“Tugas kita adalah tenggelamkan perahu sebelah lawan bukannya tenggelamkan perahu kita.”

Ujar beliau, swmangat kerjasama yang ditonjolkan oleh akar umbi untuk bersama PAS sangat membanggakan.

“Kalau inilah semangat bekerjasama ditonjolkan oleh UMNO Sungai Petani dengan PAS, saya yakin semua kerusi yang dipertandingkan pada PRU ke-15 kita akan kuasai semula. Insya-Allah … kalau UMNO dan PAS meneruskan kerjasama ini saya yakin Putrajaya akan menjadi hak milik Barisan Nasional (BN) dan PAS,” katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sungai Petani, hari ini.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera menegaskan bahawa yang penting kerjasama antara UMNO dan PAS haruslah dilakukan dengan ikhlas.

“Penyatuan ini penting bukannya untuk UMNO atau PAS tetapi kerana Islam dan Melayu di dalam negara ini.

“Kebesaran Allah ini kita tidak jangka, hikmah atas kekalahan yang kita terima, perancangan Allah lebih baik, ia mahukan kita sedar dari bergaduh sesama Melayu.

“Kita ini ibarat dalam satu kapal,kita nak bawa kapal tiba-tiba lanun naik kita bergaduh dan berperang dengan lanun, lanun campak kita ke laut dia bawa lari kapal, kita dalam laut masih hendak menikam lagi, sama-sama kena campak ke laut, sepatutnya kita kejar lanun dan campak mereka ke laut,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengharapkan agar ahli UMNO mengetepikan fahaman politik yang boleh memecah belahkan UMNO dan PAS, dan terus kekalkan bekerjasama demi Melayu dan Islam.

“Bukan sahaja perpaduan ummah yang ingin dikekalkan malahan perpaduan dalam UMNO juga penting agar tidak mudah berpecah-belah walaupun ada halangan-halangan tertentu dari pihak kerajaan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

http://umno.huluselangor.net/tag/ismail-sabri