Masa depan UMNO Sabah tetap kuat, gandingan baru mampu yakinkan rakyat

Di sebalik kejutan daripada tindakan barisan kepemimpinan UMNO Sabah yang mengumumkan keluar daripada parti semalam, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah tetap yakin masa depan parti keramat Melayu itu masih lagi kuat di negeri tersebut.

Menurut Ketua Penerangan UMNO itu, keyakinan tersebut berdasarkan pretasi cemerlang UMNO yang menang banyak kerusi di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ini masa terbaik buat pimpinan baharu yang berwibawa dibawa masuk bagi memimpin UMNO di Sabah. Gandingan muka-muka baharu ini mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UMNO di situ.

“Pelantikan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah juga adalah satu langkah tepat. Situasi yang berlaku ketika ini memberi peluang kepada UMNO Sabah dipulihkan dengan semangat serta jiwa selain berfungsi dengan lebih sempurna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, lima ahli Parlimen, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator UMNO mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Shamsul Anuar menambah, alasan yang diberikan itu tidak relevan kerana pimpinan tertinggi telah menetapkan apa yang perlu dilakukan oleh pimpinan dan ahli parti di semua peringkat termasuk di Sabah.