Mesyuarat bahagian UMNO memang tertutup – Ismail Sabri

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tampil menjelaskan mengenai laporan media yang empat wartawan dihalau daripada membuat liputan mesyuarat UMNO Bahagian Lembah Pantai yang dirasmikan beliau petang tadi.

Beliau berkata mana-mana msyuarat UMNO sama ada peringkat cawangan mahu pun bahagian adalah dibuat secara tertutup.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, atas sebab itu mesyuarat tersebut khusus untuk ahli-ahli sahaja dan pemberita dinasihatkan supaya menemu bual sebelum atau selepas berlangsungnya majlis.

“Mesyuarat UMNO mesyuarat tertutup. Kadang-kadang pemberita tak berapa faham mereka tulis berita ucapan perasmian, boleh menyebabkan salah anggap dan keterlaluan.

“Sedangkan dalam parti lain seperti MCA dan DAP pun ucapan mereka keras tapi pemberita tak faham, maka tak tulis,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia Online hari ini.

Mesyuarat yang diadakan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) kecoh apabila terdapat wartawan bukan Melayu dihalau daripada membuat liputan.

Mengikut satu kenyataan Gerakan Media Merdeka (Geramm), pihaknya menerima aduan daripada wartawan di tempat kejadian yang mengadu mereka ‘diminta keluar’ daripada membuat liputan.

“Difahamkan arahan tersebut dikeluarkan dengan alasan bahawa acara tersebut merupakan “persidangan orang Melayu” dan hanya orang Melayu sahaja dibenarkan untuk membuat liputan perasmian mesyuarat,” demikian menurut kenyataan Geramm.

Mesyuarat itu dirasmikan beliau atas kapasiti Naib Presiden UMNO.

Geramm turut mendakwa pengacara majlis telah meminta wartawan dan jurugambar bukan berbangsa Melayu untuk meninggalkan majlis sejurus sebelum acara bermula pada kira-kira jam 2 petang tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani dan Timbalan Yang Dipertua Pas Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar.

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, pengerusi majlis mesyuarat tersebut sepatutnya menjelaskan mengenai situasi berkenaan dan meminta kerjasama daripada para pemberita.

“Tapi itulah, kamu pun tahu. Ada pengerusi majlis yang berpengalaman dan ada juga yang baharu tapi saya tak pasti berkenaan hal tadi kerana mesyuarat bahagian Lembah Pantai, saya hanya menyempurnakan,” katanya.