Najib tekad galas tanggungjawab

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) yang baharu dilantik, Datuk Seri Najib Razak bertekad menggalas tugas sebaik mungkin selepas diberi kepercayaan.

Beliau berkata, pelantikan tersebut merupakan satu penghormatan buat dirinya dan tanggungjawab besar dalam usaha memulihkan semula BN berdasarkan kepada piagam parti yang baharu.

“Saya ucap terima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid (Hamidi) dan juga kepada Presiden MCA dan juga Presiden MIC kerana mereka telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi pengerusi kepada lembaga Penasihat BN.

“Ia satu penghormatan bukan saya anggap kepada diri saya tapi satu tanggungjawab besar untuk memulihkan keadan BN dan memperkasakan BN berdasarkan kepada piagam BN yang baharu yang akan dilancar dalam Konvensyen BN pada bulan September akan datang. Insyaallah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Pimpinan Tertinggi BN di Menara Dato Onn malam tadi.

Dalam pada itu Najib berkata, beberapa keputusan strategik telah dibuat pada malam ini bagi memperlihatkan kepada umum imej BN yang merupakan sebuah parti pelbagai kaum, budaya dan agama tetapi tetap berpandu kepada Perlembagaan.

Katanya, perbincangan turut menjuruskan kepada cara bagaimana BN boleh menarik lebih ramai ahli baharu dan langkah memperkukuhkan akar umbi serta kebersamaan di kawasan-kawasan tertentu menggunakan platform parti.

Dalam perkembvangan sama Najib berkata, pada masa ini sebanyak tiga nama akan dimasukkan ke dalam senarai lembaga penasihat berkenaan bagi membantu beliau menjalankan tugas.

Bagaimanapun, nama-nama tersebut belum lagi dirujuk kepada individu tersebut dan akan diberitahu dalam sedikit masa lagi.

“Nama ada dalam kepala..belum rujuk orang berkenaan,” ujarnya.