Noraini rakyat Malaysia pertama ketuai CWP

KUALA LUMPUR 30 Julai – Wanita perlu lebih dilibatkan dalam barisan yang membuat keputusan penting negara demi menjamin kestabilan sosial dan menuju sebuah negara maju.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Persatuan Ahli Parlimen Komanwel Wanita (CWP), Datuk Dr. Noraini Ahmad yang melihat nisbah wanita dalam peringkat penting membuat keputusan masih rendah dan usaha memperkasakan soal itu agak perlahan.

Beliau mahu melihat wanita mesti mempunyai penyertaan penuh dalam usaha-usaha mencegah dan penyelesaian konflik, usaha pendamaian serta perlindungan golongan wanita dan gadis.
Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong menerangkan bahawa keberadaan golongan wanita dalam dunia politik lebih-lebih lagi sebagai ahli Parlimen bukanlah suatu perkara yang asing bahkan hal itu membuktikan kewibawaan wanita tidak boleh lagi diragui.

“Memperkasakan wanita adalah penting untuk membolehkan golongan terlibat dalam politik dan ekonomi dengan dan matlamatnya untuk memastikan wanita akan menyumbang kepada masyarakat yang stabil, yang seterusnya akan menjana negara yang maju.

“Setiap negara perlu menggalakkan lebih ramai wanita berada dalam sektor perkejaan, sama ada sektor swasta atau awam. Wanita hari ini memainkan peranan penting sebagai pembuat keputusan eringkat ekonomi yang lebih tinggi, semasa konflik dan situasi selepas konflik,” katanya ketika berucapa dalam Persidangan Women’s Parliamentary Caucus di Pakistan hari ini.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengerusi CWP. Beliau juga pada tahun ini mencatatkan sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia yang memantu khususnya isu-isu kewangan dan audit kerajaan.

Semasa memberikan ucapan beliau juga, Noraini berkongsi beberapa maklumat tentang nisbah wanita dalam peringkat tertinggi kerajaan, antaranya setakat Februari 2019, wanita hanya menguasai 24.3 peratus ahli-ahli Parlimen daripada kesemua Parlimen di dunia.

Tambahnya, negara Rwanda memiliki jumlah ahli Parlimen tertinggi iaitu 61.3 peratus daripada kerusi Dewan Rakyat manakala setakat Jun 2019 hanya 11 wanita menjadi Ketua Negara dan hanya 12 wanita menjadi ketua kerajaan.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi CWP, enam strategi akan diusahakan untuk meningkatkan bilangan wanita dalam Parlimen dan legislatif.

Enam strategi itu ialah membina kapasiti CWP di peringkat serantau, komunikasi CWP dan peningkatan profil, penyelidikan, menggerakan penglibatan alumni CWP, memanfaatkan kedudukan melalui program-program Persatuan Ahli Parlimen Negara Komanwel (CPA) dan menggalakkan kerjasama organisasi. – UTUSAN ONLINE