Pencemaran:Penduduk buat laporan polis

PASIR GUDANG 14 Julai – Mangsa pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim di sini pada Mac lalu membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Berhubung Isu Pencemaran Pasir Gudang, Mohd. Rafee Abdullah berkata, laporan polis itu dibuat pihaknya pada pukul 11.11 pagi.
“Adakah terdapat kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang kerana pencemaran ini telah berlaku buat kali kedua.

“Kami juga tertanya-tanya apakah peruntukan RM6.4 juta daripada kerajaan negeri telah digunakan secara efektif. Hal ini kerana kebanyakan mangsa pencemaran itu tidak menerima sebagai bentuk bantuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas pihaknya membuat laporan polis tersebut di sini sebentar tadi.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menjejaskan lebih daripada 5,000 penduduk Pasir Gudang sehingga memaksa kerajaan negeri menutup kesemua 111 sekolah di kawasan terbabit. – UTUSAN ONLINE