Perlembagaan Negara Jelas, ICERD Tidak Ada Keperluan Diratifikasi

Perlembagaan Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana kaum di negara ini dan atas dasar berkenaan tidak ada keperluan kepada ratifikasi mana-mana perjanjian diperingkat antarabangsa termasuk Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan mempersoalkan apa keperluan untuk meratifikasikan ICERD sedangkan negara boleh menyelesaikan masalah dan membangunkan secara tersendiri.

“Selama ini perpaduan memang wujud dan telah dicapai. Seingat saya kalau ada pergaduhan antara kaum dan sebagainya polis kena panggil ketua kaum, penghulu dan sebagainya untuk kita berbincang apa masalahnya.

“Jadi apa yang penting kita perlu tahu cara bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah.

“Bagi saya orang Melayu tidak sengaja membangkitkan soal ICERD tetapi mereka gusar kalau kita meratifikasikan perjanjian ini akan terjejas perkara yang berkaitan termasuklah soal agama,” katanya.

Katanya lagi pelbagai perkara telah dicapai menerusi kontrak sosial antara kaum dalam negara pada satu masa dahulu.

Beliau berkata demikian sempena Program Wanita dan Isu Semasa (WISE) yang memberi penerangan tentang ICERD di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Menerus Program WISE ini, perbincangan mendalam berkaitan ICERD turut mengetengahkan Pengarah Institut Kajian Raja, Kepimpinan dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Datuk Dr Ramlah Adam bersama dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Mohd Yazid Zul Kepli dengan moderatornya Datuk Dr Mashitah Ibrahim.