Perpaduan pemimpin, ahli perlu ketika UMNO hadapi dugaan

Seluruh pimpinan UMNO dan ahli-ahli serta penyokong parti keramat itu di semua peringkat diminta bersama dan bersatu hati dalam menghadapi cabaran ketika ini.

Ketua Penerangan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini parti dan pimpinan UMNO terutama Presiden UMNO sedang menghadapi ujian yang sangat mencabar.

“Kita yakin hanya dengan perpaduan sesama kita sahaja mampu menghadapi apa juga dugaan yang mendatang.

“Justeru, marilah kita bersama mempertahankan UMNO dan pimpinannya. Usahlah kita terperangkap dengan permainan pihak-pihak yang sentiasa mengambil kesempatan untuk terus menghancurkan UMNO ketika ini,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Shamsul Anuar menegaskan, apa yang dilakukan oleh mereka hanyalah bertujuan melemah dan melunturkan semangat ahli UMNO. Apabila lemah, kita akan berpecah atau dipecah-pecahkan.

“Kita mesti terus kuat dan bersatu agar UMNO BANGKIT semula,” tegasnya.