PSP Dibantah, NGO Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Tindakan kerajaan untuk memperkenalkan Program Subsidi Petrol (PSP) nampaknya tidak disokong oleh rakyat.

Bagi melahirkan suara rakyat khususnya anak muda, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai oleh Gerakan Tuntut Malaysia telah mengadakan himpunan secara aman di hadapan Parlimen Malaysia.

Pengerusi Tuntut, A’zlan Abu Bakar berkata, himpunan tersebut adalah bertujuan untuk menyerahkan memorandum ‘Tuntut Kembalikan Subsidi Petrol Kepada Rakyat’.

“Kehidupan rakyat semakin tertekan. PSP pula dilihat tidak adil dan berat sebelah kerana ia hanya untuk penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan kadar yang diberi pula rendah. Penduduk Sabah dan Sarawak pula tidak layak untuk terima PSP.

“PSP ini bukti kegagalan kerajaan dalam mentadbir negara sehingga terpaksa mewujudkan cadangan baru yang akhirnya rakyat diheret dengan masalah kos sara hidup yang tidak berkesudahan,” ujar beliau kepada media.

Tambah A’zlan, oleh kerana itu PSP ini harus ditentang memandangkan harga petrol akan meningkat dengan mendadak, majoriti anak muda yang bekerja di bandar tidak memenuhi kelayakan penerima subsidi, kerajaan akan mengaut keuntungan dari subsidi yang selama ini diberikan untuk rakyat dan harga barangan juga akan melonjak naik.

Sehubungan itu, Tuntut bersama NGO lain meminta agar kerajaan melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku bakal Perdana Menteri untuk memandang serius isu ini.

Untuk makluman, desakan wakil Tuntut untuk menyerahkan sendiri memorandum ini kepada Anwar akhirnya berjaya namun pihak media tidak dibenarkan untuk membuat liputan. – UMNO ONLINE