SEJARAH HARI PAHLAWAN: SAMBUTAN DAN INISIATIF

HARI PAHLAWAN di Malaysia disambut setiap 31 Julai. Ia bermula secara rasminya pada tanggal 31 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya era darurat.

Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka. Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sempena Hari Pahlawan, acara letak kalungan bunga oleh pemimpin negara iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri serta ketua pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ketiga-tiga cabangnya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertafakur selama seminit di hadapan Tugu Negara berhampiran Panggung Aniversari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Acara tradisi ketenteraan tiupan “Last Post” dan “Rouse” serta deklamasi sajak juga dilakukan di hadapan tugu. Acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara.

Persatuan Bekas Tentera Malaysia pula melancarkan kutipan derma ke sekolah-sekolah bagi memupuk semangat menderma dan cintakan tanah air. Pada 17 November 2007, Majlis Santapan Seri Pahlawan telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi mengutip sumbangan derma untuk bekas tentera yang uzur dan kemalangan.

Kerajaan pada 2010 telah memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya di sebuah dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar yang bakal dibina. Namun sambutan telah diadakan di Dataran Merdeka buat kali pertama tanpa acara meletak kalungan bunga dan bertafakur di depan Tugu Negara seperti yang sering dilakukan seiring dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

PEMBUKAAN RASMI KOMPLEKS PUSAT PENYELIDIKAN PERTAHANAN OLEH YAB TUN ABDUL RAZAK HUSSIN

Sempena Hari Pahlawan pada tarikh yang sama dalam tahun 1975, Perdana Menteri YAB Tun Hj. Abdul Razak bin Hussin merasmikan pembukaan Kompleks Pusat Penyelidikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur. Pusat Penyelidikan Pertahanan ini diasaskan pada tahun 1968. Ianya merupakan sebuah pertubuhan penyelidikan yang unik bukan sahaja bertanggungjawab memenuhi keperluan-keperluan yang berbagai dari Angkatan Tentera tetapi mempunyai peranan penting dari segi pertahanan negara.

Kompleks Pusat Penyelidikan Pertahanan ini dilengkapkan dengan makmal-makmal yang moden dan dianggotai oleh pakar-pakar profesional yang terlatih terdiri dari ahli-ahli kimia, fizik dan jurutera-jurutera mekanik, letrik dan perhubungan untuk memberi perkhidmatan perunding, kemudahan, ujian dan kemahiran penyelidikan dan kemajuan.

Tugas utama pusat ini ialah untuk melaksana dan menjayakan rancangan-rancangan penyelidikan dan kemajuan dalam bidang sains pertahaan serta memberi perkhidmatan penyelidikan pengurusan sebagai satu teknik yang saintifik membantu pengurusan Angkatan Tentera. Pegawai-pegawai penyelidik di pusat ini dihantar menjalani latihan lanjutan untuk mendapatkan kepakaran dan kemahiran di Australia, Canada dan United Kingdom. Pusat ini juga menerima bantuan dan kerjasama dari negara-negara sahabat dalam Pertubuhan Sains Commonwealth seperti Australia dan Canada.

YAB Tun Abdul Razak yang juga Menteri Pertahanan di dalam ucapannya mengatakan peri pentingnya penyelidikan gerakan untuk mencapai hasil yang sebaik-baiknya oleh pihak Angkatan Tentera dan menyeru supaya semua peringkat angkatan tentera menggunakan kaedah saintifik dalam masalah pertahanan. Turut hadir dalam upacara ini ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Tan Sri Abu Bakar Samad bin Mohd Noor dan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Ibrahim Ismail.

Dengan pembukaan rasmi Kompleks Pusat Penyelidikan Pertahanan Angkatan Tentera pada hari ini dalam tahun 1975, Angkatan Tentera Malaysia telah maju setapak lagi dalam usaha mewujudkan satu sistem pertahanan negara yang moden dan bergerak secara saintifik

ENAM INISIATIF OLEH DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK

Pada 31 Julai 2017 pula sempena HARI PAHLAWAN, Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam inisiatif untuk para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.

Pertama adalah pengenalan skim Bantuan Bakti Negara (BBN) sebagai bantuan permulaan kerajaan untuk manfaat 66,000 veteran ATM tidak berpencen yang akan menerima RM1,200 setahun;

: Syarat layak skim BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), iaitu mereka yang tergolong dalam kelompok pendapatan terendah bawah 40 peratus (B40).
: Bagi bukan penerima BR1M, yang membabitkan seramai 10,959 veteran ATM tidak berpencen berumur 60 tahun ke atas pula akan diberi insentif khas RM600 setiap tahun.

Inisiatif kedua dinamakan Skim Anuiti Veteran (SAVe), bertujuan memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran ATM tidak berpencen seperti mana veteran yang mendapat pencen bulanan; Anggota ATM yang berhenti daripada perkhidmatan lebih awal juga layak menerima pencen bulanan menerusi caruman hasil pelaburan kerajaan

Inisiatif Ketiga adalah penambahbaikan Skim Pencen Hilang Upaya bagi veteran ATM dan bekas anggota Wataniah sepenuh masa yang berkhidmat kurang 10 tahun dan tidak menerima pencen;
: anggota yang diberhentikan awal akibat kecederaan ketika menjalankan tugas atau kecacatan kekal akan menerima kenaikan pencen 300 hingga 800 peratus, bersamaan nilai RM500 hingga RM2,000 sebulan

Inisiatif keempat adalah kepada veteran kelainan upaya selepas bersara;
mereka menerima RM500 setahun daripada dana Tabung Pahlawan dan Kerajaan akan menambah sebanyak RM500 setahun, menjadikan jumlah keseluruhan RM1,000

Inisiatif kelima adalah kepada veteran tentera yang beragama Islam, kerajaan turut bersetuju menambah kuota haji bagi veteran ATM daripada 100 sebelum ini kepada 400 tempat mulai dari 2017

Inisiatif keenam adalah lebih menyeluruh dimana kerajaan juga akan menyumbang RM5 juta kepada Tabung Pahlawan bermula pada tahun 2017, ini sekali gus melakar rekod kutipan tertinggi sejak dana itu dilancarkan.

Kebanyakan inisiatif ini amat masuk akal untuk dilaksanakan oleh kerajaan BN, khususnya terdapat peningkatan pembayaran cukai dalam kutipan GST dan hubungan baik diantara kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi dalam penambahan kuota Haji.

Diharap walaupun berlakunya pertukaran kerajaan, inisiatif ini dapat diteruskan dan dipantau pelaksanaannya oleh pihak berkaitan. Jika tiada kesinambungan maka benarlah pepatah pernah mengatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

“SELAMAT HARI PAHLAWAN”

Olahan dari sumber:

6 berita gembira untuk veteran tentera | Nasional | Berita Harian
https://www.bharian.com.my/…/6-berita-gembira-untuk-veteran-ten…

sambutan hari pahlawan yang pertama – Hari Ini Dalam Sejarah
hids.arkib.gov.my/-/hari-pahlawan-yang-pertama

Pembukaan Rasmi Kompleks Pusat Penyelidikan Pertahanan
hids.arkib.gov.my/-/pembukaan-rasmi-kompleks-pusat-penyelidika…

Kredit Facebook Norman Dasuki (The Patriot)