Sultan Brunei tiba untuk hadiri Istiadat Pertabalan

SUBANG, 29 Julai- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah selamat tiba di sini hari ini bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan berlangsung di Istana Negara, esok.

Pesawat khas yang membawa baginda dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang tepat 12 tengah hari tadi.

Ketibaan pasangan diraja Brunei itu disambut sendiri Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Pasangan diraja Brunei itu merupakan antara tetamu jemputan diraja dari luar negara bagi menghadiri istiadat pertabalan itu. Turut dijadual hadir ialah Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan yang dijangka tiba pagi esok.

Hadir sama menyambut keberangkatan tiba tetamu diraja itu ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri pengiring.

Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri turut dijadual berangkat ke Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada Rabu yang diadakan sempena Istiadat Pertabalan.

— BERNAMA