Tabung Haji: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mencari kebenaran

Elok tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Ketua Audit Negara cakap lain, PwC cakap lain.

Menteri lagilah pusing keliling cari populariti sesat.

….

Laporan oleh firma perakaunan dan audit PricewaterhouseCoopers (PwC) berkaitan kedudukan dan amalan kewangan Tabung Haji telah dibentangkan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa di Parlimen pagi tadi.

Laporan tersebut telah mengundang kerisauan yang sangat mendalam dan mesti dipandang serius oleh semua pihak.

Saya yakin orang melayu dan Islam di Malaysia mendambakan kebenaran dari pendedahan ini dan seterusnya menuntut pertanggungjawaban dari mereka yang terbabit.

Satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera dan tegas atas beberapa sebab.

Pertama, kita mesti melihat isu ini dalam konteks yang besar. Ia bukan sahaja berkaitan dengan soal pemberian/bayaran hibah yang tidak mengikut prosedur dan peruntukan organisasi tersebut (TH). Tetapi, yang lebih mendasar ialah ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

Kedua, UMNO sangat serius dalam apa jua usaha memelihara kewibawaan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Sebarang usaha untuk memperkuat institusi ini dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urusnya mesti disokong oleh semua pihak.

Ketiga, Tabung Haji adalah institusi milik orang Melayu dan orang Islam. Orang Melayu, orang Islam dan masyarakat awam secara umum berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi terpenting ini. Dan kebenaran hanya akan terbit dari siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh.

Keempat, cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan institusi milik kita diuruskan dengan sebaiknya. Justeru itu, Tabung Haji jangan sama sekali dibiarkan susut nilai dan kepentingannya atau dipergunakan tanpa pertanggungjawaban dan rasa bersalah oleh pihak bertanggungjawab dalam apa cara sekali pun.

Kelima, Tabung Haji mempunyai nama besar dan reputasi yang baik bukan sahaja di dalam negara kita. Malah di persada global. Tabung Haji adalah kuasa lunak Malaysia di kalangan negara Islam. Mandat, fungsi serta aspirasi organisasi ini yang sangat murni dan kritikal dalam kehidupan beragama orang Islam. Maka wibawanya harus dipertahankan dengan apa cara sekalipun.

Oleh itu, saya mencadangkan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mencari kebenaran sebenar.

Ia bukan sahaja akan membolehkan kita semua mengetahui dengan lebih jelas dan terperinci tentang isu ini. Tetapi, ia sudah pastinya akan membuka ruang untuk kita sama-sama mengemukakan jalan ke hadapan yang baik dan perlu bagi mengukuhkan kembali institusi penting ini.

Saya berharap Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini.

..
Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO