Tidak Wajar ‘Ganggu’ Subjek Agama Di Sekolah Kebangsaan

Pergerakan Puteri UMNO mengingatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad agar lebih berhati-hati, jangan sewenang-wenangnya mengubah kurikulum atau sistem pendidikan sedia ada sebaliknya fokus bela rakyat dan tunaikan janji-janji manifesto PRU14 lalu.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan melahirkan rasa hairan dengan cara pentadbiran kerajaan PH kerana terlalu banyak menyentuh dan mahu mengubah bab-bab berkait agama dan bangsa Melayu walau baru tujuh bulan memerintah.

“Adakah ini baik untuk Malaysia Baharu?” soalnya dalam kenyataan hari ini .

Antara yang disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam satu program seperti dilapor media ialah,
“Kurikulum di sekolah perlu memberi penekanan untuk menguasai mata pelajaran yang boleh menghasilkan graduan yang berkualiti dan tidak memberi tumpuan semata-mata kepada mata pelajaran agama”.

“Saya tidak faham kenapa beliau berkata begitu seolah olah mahu mengubah pula sistem pembelajaran sedia ada.

Bukan kearah kebaikan, tapi pada saya ke arah lebih negatif, apabila kurikulum subjek Agama mahu dikurangkan.

“Cadangan atau keputusan ia tetap sesuatu yang amat tidak wajar, kerana pada saya kehidupan ini perlu seimbang antara duniawi dan ukhrawi.”

Katanya, manusia yang lengkap adalah manusia baik peribadi, berakhlak mulia dan faham agama yang mengawal emosi kita, sementara ilmu sains dan siasah adalah untuk membentuk hala tuju hidupnya.

“Pembelajaran agama juga yang akan membentuk akhlak murid murid agar tidak mudah terpengaruh dengan gelaja sosial, lebih lebih lagi di zaman IT tanpa sempadan hari ini ,” tegasnya.