Menolak ICERD jelas menunjukkan UMNO pejuang kepentingan Melayu dan Bumiputra ?

1. Keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 10 November 2018 dengan tegasnya menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) seperti disebut dalam sidang media oleh Presiden UMNO Malaysia sangat tepat dan jelas sekali.

2. Malah ucapan Presiden UMNO di Johor dalam Perjumpaan Khas UMNO Johor hari ini yang menyatakan ICERD adalah Malayan Union 2.0 adalah tepat. Ini mesti disedari oleh orang Melayu dan kita mesti bangkit menentang ICERD.

3. Pendirian ini menunjukan bahawa UMNO tetap akan pertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera di negara ini dalam keadaan apa sekalipun. Pendirian ini sama sekali menolak pandangan Tun Mahathir bahawa UMNO sudah tiada dan kononnya UMNO hilang arah perjuangan.

4. Kita mahu setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dihormati dan keharmonian antara kaum dalam negara ini hendaklah dipelihara serta dihormati.

5. Saya ingin jelaskan dalam keadaan UMNO membela kepentingan Melayu dan Bumiputera, UMNO juga tetap menghormati kepentingan kaum lain sebagaimana termaktub dalam perlembagaan negara.

6. Sehubungan dengan itu, saya ingin nyatakan bahawa P. Waytha Moorthy, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai perpaduan dan intergrasi  nasional nyata tidak peka dengan sentimen rakyat terutama Melayu dan Bumiputera dalam negara ini berkaitan isu ICERD.

7. Persoalan juga timbul kenapa setelah sekian lama ICERD wujud, baru sekarang perkara ini dtimbulkan ? Kenyataan P.Waytha Moorthy yang masih mahu mendapat pandangan rakyat ternyata menunjukkan bahawa kerajaan dan beliau sendiri mempunyai niat serong untuk menjayakan perancangan itu.

8. Rakyat sedar bahawa selama 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, perkara ini tidak ditimbulkan.

9. Justeru kita ingin tahu, kenapa kini isu ratifikasi ICERD ini ditimbulkan ? Sedangkan sejak dahulu ICERD sebenarnya sama sahaja isi kandungannya, dan dahulu ia tidak pun dibincangkan. Pada saya ini semua agenda DAP yang ingin menguasai sepenuhnya negara ini melalui ICERD.

10. Kemudian saya melihat semua ini berlaku kerana Tun Dr Mahathir sendiri sudah tidak boleh mempertahankan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Maknanya BERSATU dengan jumlah kerusinya 14 sahaja gagal mengawal kehendak sekutunya terutama DAP. Jadi kalau mengatakan BERSATU mahu jadi parti pertahan Melayu sangat tidak tepat dan salah.

11. Oleh itu UMNO bertegas meminta Kerajaan PH menolak ICERD walaupun DAP dan beberapa pimpinan Melayu dalam BERSATU dan PKR menyokongnya.

12. Pada saya tiada apa yang merugikan Malaysia jika kita tidak menandatangani ICERD ini, malahan tidak perlulah kita mengikut acuan pihak lain untuk kita mentadbir negara ini.

13. Ingin saya tegaskan bahawa selama 61 tahun Kerajaan BN memimpin Malaysia, kita sentiasa komited memelihara kedaulatan dan maruah negara. Atas fakta ini, UMNO bertegas tidak ada perlunya Kerajaan PH meletakkan negara ini di bawah telunjuk negara luar.

LIHAT video:
https://youtu.be/mTcPFwkbgHc

Is

YB Dato’ Dr Shamsul Anuar bin Nasarah
Ketua Penerangan UMNO Malaysia