Tubuh RCI Untuk Siasatan Menyeluruh Termasuk Kenyataan Pembohongan – Ahmad Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia malam tadi akibat cedera dalam insiden rusuhan bulan lalu.

Katanya, ia bukan sekadar siasatan jenayah tetapi juga kenyataan pembohongan oleh sekumpulan orang yg menggunakan agama untuk seleweng fakta.

“RCI mesti ditubuhkan untuk siasatan menyeluruh terhadap kematian Adib dan kejadian di kuil. Ianya bukan sekadar siasatan jenayah tetapi juga kenyataan pembohongan oleh sekumpulan orang yang menggunakan agama untuk seleweng fakta. Keadilan untuk Adib mesti ditegakkan,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian menerusi akaun Twitternya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, telah menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya sebelum cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh.

Susulan kematiannya, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.