UMNO masih ada, Dulu, Kini dan Selamanya insyaAllah

‘UMNO masih ada!’

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO masih wujud walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa parti itu sudah tiada.

“Kan saya ada. Nampakkan? UMNO masih ada. Nampak?” katanya kepada kumpulan media yang menyerbu beliau untuk mengulas kenyataan Dr Mahathir.

Presiden UMNO itu juga enggan melayan atau menangkis kenyataan Dr Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO.

“Tak apalah. Suka hati dialah. Suka hati dia,” katanya.

Dr Mahathir semalam berkata UMNO yang dahulu memperjuangkan agama, bangsa dan negara, sudah tiada di negara ini.

Perdana Menteri berkata, parti yang pernah dipimpinnya itu sentiasa memperjuangkan nasib rakyat namun kini sudah tersasar daripada matlamat asal.

Malah, Dr Mahathir juga berkata perjuangan UMNO ialah untuk kekalkan Datuk Seri Najib Razak.

“Itu bukan UMNO, UMNO sudah tiada,” kata Dr Mahathir pada program Bicara Minda di Seksyen 15, di Shah Alam, semalam.