UMNO perlu segera lakukan proses muhasabah – Ketua Wanita

Tindakan pemimpin yang keluar UMNO secara beramai-ramai di Sabah pada saat parti diuji merupakan isyarat untuk parti segera melaksanakan proses muhasabah.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, setiap daripada ahli UMNO perlu memiliki motivasi yang tinggi untuk terus berjuang demi kelangsungan parti.

Katanya, apa yang berlaku di Sabah pada hari ini boleh diistilahkan sebagai peringatan bahawa motivasi semakin menipis dalam kalangan ahli.

“Punca berlakunya hal ini perlu segera dicari dan diatasi. Apabila perkara itu terus berlaku, ahli tidak akan mampu lagi menghayati konsep kesetiaan sepanjang hayat iaitu lahir, membesar dan meninggal dunia bersama-sama parti keramat ini.

“Justeru, sudah sampai masanya ahli-ahli UMNO daripada akar umbi khususnya di peringkat kepimpinan tertinggi bermuhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan secara holistik dalam usaha untuk mengukuhkan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Noraini, meskipun tindakan keluar parti beramai-ramai ini sudah dijangka, beliau memanjatkan doa semoga ia bukan cerminan atau terjemahan keputusan yang mewakili seluruh ahli di peringkat akar umbi di Sabah.

Bahkan, beliau berharap keputusan yang diambil oleh beberapa pemimpin hari ini tidak akan melumpuhkan UMNO di Sabah.

Menurut Noraini, kepemimpinan tertinggi UMNO juga tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan mengambil pendekatan proaktif dalam menghadapi isu tersebut.

“Pada masa sama, hubungan silaturahim antara pemimpin Sabah dan Semenanjung yang akrab terjalin sejak UMNO lahir di Sabah pada tahun 1991, tidak wajar terputus ekoran apa yang berlaku pada hari ini.

“Banyak jasa dan pengorbanan telah dilakukan oleh pemimpin yang keluar dari UMNO Sabah. Sejarah tidak akan mampu menghapus jasa mereka,” ujarnya.