Wanita UMNO gesa hukuman keras terhadap suspek pukul Adib

Pergerakan Wanita UMNO menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara menyempurnakan siasatan terhadap kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24.

Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah, undang-undang perlu ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian itu mesti dihadapkan ke muka pengadilan serta dihukum sekeras-kerasnya.

“Kita difahamkan kes arwah Adib ini sudah diklasifikasikan oleh PDRM sebagai kes bunuh dan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Pemergian beliau juga amat mengejutkan rakyat negara ini yang tidak putus-putus berdoa agar beliau selamat selepas 21 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah di bahagian paru-paru kerana dipukul oleh perusuh dalam tragedi rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di kesempatan itu juga, Noraini serta seluruh ahli wanita merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham termasuk tunang Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd. Radzi yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 22 Disember ini.

“Segala yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Semoga Nurul Najihah tabah menghadapi dugaan ini dan redakanlah pemergiannya untuk bertemu pencipta di negeri abadi.

“Semoga arwah diampunkan dosanya dan diberi ganjaran oleh Tuhan Yang Maha Esa atas jasa bakti menjalankan tugas demi keamanan negara sehingga terkorban nyawa,” jelasnya.